Jumat, 23 April 2010

Rahsia Rahmat Ramadhan Rush

Maghrib, 1 Ramadhan 1427, di atas sejadah..... menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, Penghulu segala bulan, bulan segala Rahmat..... selesai memberi salam, aku menadah tangan untuk berdoa, mulut aku terkunci apabila tiba-tiba seluruh anggota tubuh terasa begitu ringan, seringan kapas ditiup angin. Segala urat dan sendi yang tersimpul ketat kini terungkai. Aku terdiam cuba memikirkan sesuatu. Aku merenung tepat ke arah hujung sejadah sambil tangan masih lagi menadah ke langit seperti seorang pengemis. Tidak aku pasti kenapa dengan sendirinya airmata ini bercucuran, aku menahan....... sebaik aku membuka mulut menyebut 'Ya Allah!.., Ya Rabbii.....' aku terus teresak-esak menangis, tangisan aku semakin kuat, semakin sayu dan lisanku terketar-ketar. Maha Suci Engkau Ya Allah!!! segala puji hanya untukMu, betapa manisnya Rahmat yang kau berikan pada diri hambaMu ini Ya Allah!
Babak di atas sejadah itu...... tidak hanya sampai di situ, tetapi cukuplah rasanya aku berkongsi pengalaman yang tidak pernah dilalui sebelum ini sepanjang bernafas di bumi Tuhan.
sujud
Selesai bingkas dari solat, aku cuba menenangkan diri, tetapi airmata masih tidak putus-putus berlinang. Teringat kata-kata yang terdapat di blog seorang kenalan, hendaklah kita bermaaf-maafan sebelum tibanya Ramadhan. Aku capai telefon, dan insan pertama yang akan aku memohon maaf ialah dari seorang wanita yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik aku - mak. Aku pura-pura untuk kedengaran ceria, tetapi pendengaran mak masih tajam dan beliau dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Aku sempat meminta ampun dan maaf, minta dihalalkan segala makan minum dan maafkan segala salah silap aku. Aku cepat-cepat meletak ganggang telefon, kerana airmata sudah mula deras mengalir dan tekak pula terasa tersekat-sekat. Selang beberapa minit, aku terima sms dari Anita "mak tak berhenti menangis coz dia tau something wrong with you, kau sakit ke?"... aku jawab ringkas "im ok, cuma nak minta maaf jer"..... sms aku dibalas "mak kata kau tak ada dosa apa2 dengan dia... minta maaf dengan Allah'. Aku terduduk.... tersimpuh di penjuru katil, aku menangis sepuas-puasnya, cukup tersentuh dengan ayat sms terakhir. Mak seakan mengerti apa yang sedang aku lalui pada masa ini. Pertemuan aku dengan Ramadhan kali ini sungguh berbeza, sungguh memberi kesan dan tidak tergambar kenikmatannya. Semoga Allah kekalkan rahmatNya ini kepadaku walaupun sesudah Ramadhan. Amiiinn..........
Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa:
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيَّامُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَأَخَّرْتُ وَأَسْرَرْتُ وَأَعْلَنْتُ أَنْتَ إِلَهِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau

Tidak ada komentar: